Sunday, November 27, 2005

Kenapa corak dan gaya penulisan saya akan dikekalkan?

Ada setengah pembaca yang berpendapat isi dalam artikel agak "basic" dan tidak memuaskan kehausan IQ mereka. Ada pula satu golongan pembaca yang mengatakan isi yang sama sukar difahami terutamanya oleh suri rumah tangga dan mereka yang tidak mempunyai kelulusan kewangan. Keputusan saya ialah untuk mengekalkan gaya penulisan dan tahap pengetahuan seperti sediakala kerana alasan berikut:

Bagi pembaca yang merasai kurang "layak" untuk membaca hal ehwal kewangan ini, saya nasihatkan keluar segera dari tempurung. Contohnya seperti belajar komputer. Sesiapa pun boleh belajar sendiri perisian komputer sehingga mampu menjadi seorang pakar. Tetapi soalnya ialah sanggupkah dia belajar bahasa komputer,mengikuti kursus atau mencari tok guru. Kalau asyik kata susah, takut meletup, kena belajar bahasa inggeris, hanya tahu pegang alat dapur maka sampai kiamat pun sudah tentu tidak akan dapat menggunakan komputer.

Bagi pembaca yang merasai bahan artikel ini agak "basic"-memang benar-ini disengajakan kerana mengambil kira profil pembaca secara keseluruhan. Lagipun tujuan utama saya menulis ialah untuk membolehkan pembaca mempraktikkan dengan cepat dan tepat. Kalau disajikan yang lebih terperinci takut nanti akan jadi bahan simpanan seperti ribuan tesis-tesis dan bahan ilmiah yang sekadar duduk menjadi debu di menara gading atau penghias rak almari. Bagi mereka yang berminat mengkaji lebih mendalam, semua pengetahuan kewangan yang telah saya curahkan selama ini boleh dirujuk kembali di perpustakaan dan buku-buku kewangan (sayangnya kebanyakan Bahasa Inggeris) di kedai-kedai buku terkemuka seperti Kinokuniya, Borders dan MPH. (Mungkin saya akan buat ulasan buku-buku kewangan yang telah saya baca).