Wednesday, November 28, 2007

Panduan membaca buku "Rahsia Melabur Dalam Unit Amanah".

Panduan membaca buku "Rahsia Melabur Dalam Unit Amanah".


Semasa melakukan promosi buku di MPH ada pembaca yang bertanya kepada saya bagaimana membaca buku kewangan. Soalan sama juga diutarakan melalui email. Secara umumnya buku panduan (how to do) seperti buku saya ini tidak sesuai dibaca seperti buku teks atau buku cinta atau buku bacaan ringan. Buku saya juga tidak sesuai untuk mereka yang inginkan penilikan (forecasting) atau cadangan unit amanah yang terbaik. Saya mahu menyedarkan pelabur bahawa unit amanah bukannya satu misteri. Kejayaan seorang pelabur bergantung kepada pemahamannya tentang PRINSIP, STRATEGI dan SISTEM tidak kira dia melabur di mana dan dalam situasi mana sekali pun.

Ambil contoh katakan seorang pembaca yang baru mendapat gaji pertama dan mahu mula melabur secepat mungkin. Sudah tentu banyak yang dia mahu pelajari tetapi dirinya sudah gatal mahu melabur. Elok membeli buku saya dulu tetapi tidak perlu habiskannya semuanya. Terus sahaja kepada isi kandungan dan pilih bab yang bakal membantu. Sebagai seorang pelabur "rookie" bab-bab berikut dapat memberi jawapan:

Bab 3 - Jenis Dana Unit Amanah
Bab 13 - Memilih Dana Selaras Dengan Objektif Pelaburan
Bab 19 - Lapan Mitos Unit Amanah
Bab 20 - Lima Kajian Kes

Ini semua boleh dihabiskan dalam masa sehari. Tak perlu hafal, tak perlu fahami setiap perenggan.Tak perlu baca dari A ke Z.

Kemudian dia boleh mula melabur dengan meminta bantuan seorang penasihat unit amanah atau "walk-in" sahaja ke bank. Bezanya sekarang dia tahu serba sedikit "bahasa pelaburan" yang digunakan oleh penasihatnya. Tidaklah hanya mengangguk kepala atau senyum kambing. Setelah membuka akaun dan betul-betul melabur secara bulanan dia akan menerima penyata dan prospektus serta lapuran prestasi. Sekarang dia boleh rujuk kembali buku saya ke bab yang berkaitan dan cuba amalkan prinsip kepada pelaburannya. Pelabur sebegini lebih bijak berbanding dengan pelabur yang kaya tetapi bergantung sepenuhnya kepada penasihatnya.

Itulah kaedah membaca buku kewangan "how-to-do-it" dengan cara praktikal.