Thursday, January 31, 2013

TEKNIK PELABURAN HARTANAH UNTUK EMAS

Mula menulis dalam Mingguan Wanita : Tahun 2003 
Tajuk Ruangan: Mengurus Kewangan
Tajuk Artikel : TEKNIK PELABURAN HARTANAH UNTUK EMAS 
Bil 1523 Jan 2013
...Dalam pelaburan hartanah, satu strategi yang sering digunakan ialah menambah nilai (value-add dalam Bahasa Inggeris). Satu contoh strategi ini ialah pelabur membeli unit hartanah samada secara tunai atau pinjaman pada harga yang murah seperti melalui lelongan. Harga yang murah juga boleh bermksud harga bawah nilai pasaran yang tidak semestinya diperolehi melalui lelongan sahaja. Kemudian dia akan mencantikkan, menambah baik dan menjual kembali unit hartanah tadi semula ke pasaran (orang ramai atau syarikat)pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga belian asal.

Kita boleh gunakan konsep ini terhadap emas iaitu dengan "mencantikkan" emas tersebut secara penulenan. Emas 999.9 adalah gred emas yang paling tulen di dunia. Harganya juga agak mahal. Jadi sekiranya ada memperolehi pelbagai jenis emas, barang kemas termasuk barang kemas rosak yang berketulenan gred 375, 585, 750, 875,835,916 maka ianya boleh ditukarkan kepada gred 999.9 ini melalui proses penulenan. Hubungi saya melalui email atau sms untuk meninjau kursus digital (dalam BM) termasuk video terperinci bagaimana melakukannya.
(Untuk perincian artikel dapatkan Mingguan Wanita di kedai-kedai buku, besar atau kecil berhampiran anda.)

Tuesday, January 08, 2013

Kenapa Saya Terkedu Dengan Reaksi Pembaca-Pembaca

Bermula penghujung bulan Disember tahun 2012 saya menulis, khusus untuk majallah Mingguan Wanita, satu siri 4 bahagian berkaitan Strategi Mengumpul Wang Yang Diragui. Matlamat saya menulis siri artikel tersebut ialah menyedarkan orang ramai tentang modus operandi skema secara terperinci seperti kandungan penuh surat-surat pujukan yang digunakan serta bagaimana bakal pelabur akan memasukkan wang ke dalam akaun. Skema ini tidak pernah diluluskan secara rasmi oleh mana-mana badan-badan pemantau kewangan atau bank-bank di Malaysia.

Yang menghairankan saya ialah belum pun habis penerbitan KESEMUA 4 bahagian artikel tersebut, saya menerima banyak sms dan emel dari pembaca-pembaca yang tidak sabar-sabar mahu masuk skema tersebut (modal cuma RM30). Walaupun tajuk artikel " Strategi Mengumpul Wang Yang Diragui " jelas memberi amaran, namun gerak hati menguasai logik pemikiran. Biarpun saya menabur amaran secara halus di celah-celah setiap bahagian siri artikel tersebut, pembaca menyangka saya sudah menjumpai kaedah ajaib cara mengumpul wang sehingga puluhan ribu ringgit dengan bermodalkan RM30 sahaja, campur kos fotostat dan stem. Ada di antara mereka mengalami situasi kewangan meruncing, tekanan jiwa akibat hutang dan beberapa alasan lain sehingga sanggup mencuba apa sahaja kaedah yang tersaji, apatah lagi kalau modalnya cuma beberapa puluh ringgit sahaja.